Cerita Hantu - Loker Asrama Maktab Tentera Darat
Kejadian ini dikatakan berlaku di asrama Maktab Tentera Darat, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Ceritanya tengah hari itu, semua pelajar lelaki pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran, kecuali seorang. Pelajar yang seorang ini sememangnya agak nakal dan cuba untuk ponteng solat Jumaat. Bagi mengelak dari ditangkap oleh warden asrama kerana ponteng solat Jumaat, dia bersembunyi di dalam almari pakaian (loker). Ketika sedang menyorok di dalam almari itu, entah bagaimana pelajar tersebut telah tertidur. Sedar-sedar sahaja, hari sudah pun lewat petang. Pelajar itu cuba menolak pintu almari, namun gagal. Rupa-rupanya pintu almarinya telah terkunci dari luar.
Mungkin pintu almari telah terkunci secara tidak sengaja, ataupun dikunci oleh rakan-rakannya yang tidak sedar bahawa dia sedang bersembunyi di dalamnya. Dumm..Dumm..Dumm!!! Pelajar tersebut terus mengetuk pintu almari dan berteriak memanggil kawan-kawannya. Namun sunyi sepi. Tidak seperti biasa, hari itu tidak ada suara yang menyahut panggilannya. Malang baginya kerana rupa-rupanya, semua penghuni asrama telah pulang ke kampung masing-masing sempena cuti penggal persekolahan! Kini tinggallah dia keseorangan. Tiada sesiapa yang dapat membantunya. Dia menjerit meminta tolong namun usahanya sia-sia sahaja. Akibat suhu yang panas dan kekurangan udara, pelajar berkenaan akhirnya mati kelemasan akibat kenakalannya sendiri. Selepas cuti penggal berakhir, dia dijumpai mati di dalam almari oleh rakan-rakan sebiliknya selepas mereka terhidu bau busuk dari dalam almari kepunyaannya. Tragedi itu memulakan kisah misteri yang berlaku di asrama elit tersebut, sehinggalah ke hari ini. Jika ada pelajar tidur di katilnya, arwah akan baring di sebelah mereka. Pintu almari juga akan diketuk-ketuk dari dalam, biasanya berlaku pada hari Jumaat dan lewat malam.
Cerita ini sebenranya mempunyai berbagai-bagai versi. Ada yang mengatakan bahawa pelajar lelaki ini sebenarnya ponteng kelas lalu menyorok di dalam almari pakaian. Ada juga yang mengatakan bahawa dia menyuruh kawannya mengunci almari dari luar dan berpesan supaya membukanya semula selepas selesai solat Jumaat. Namun rakannya terlupa. Walaupun terdapat banyak versi, sehingga kini kisah ini terus menjadi perbualan hangat pelajar asrama.
Comments
Post a Comment